MUKAH: Lapangan Terbang Baharu Mukah siap sepenuhnya dan memulakan operasinya pada hari ini (17 Jun) dengan pendaratan pertama pesawat MASwings MH3553 DHC6 Vikings dari Miri pada 12.40 tengah hari dan penerbangan pertama MH3414 ke Kuching pada 10.25 pagi.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr. Wee Ka Siong berkata, projek pembinaan lapangan terbang itu di lokasi baharu iaitu 7 kilometer (km) dari pusat bandar Mukah, dimulakan sejak 11 Ogos 2017 menggantikan STOLport Mukah dengan kapasiti baharu iaitu 265,000 penumpang setahun.
“Lapangan terbang baharu ini direka bentuk untuk memberikan keselesaan dan menepati kehendak rakyat Mukah yang menggunakan perkhidmatan udara luar bandar serta menjadi nadi kepada pergerakan penumpang dan barangan di kawasan terbabit.
“Rekanya dilengkapi dengan bangunan terminal baharu seluas 3,125 meter persegi, landasan sepanjang 1,500 meter dan lebar 30 meter, apron, taxiway selebar 15 meter dan tempat letak kenderaan awam dengan kapasiti 100 kereta dan 20 motosikal termasuk 20 teksi dan dua bas,” katanya dalam kenyatan media.
Katanya, lapangan terbang baharu itu menempatkan Menara Kawalan Trafik Udara, Pejabat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Jabatan Metrologi (MET) dan Bangunan Jabatan BOMBA.
“Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem Wind & Runway Visual Range (WRVR) dan sistem navigasi radio Doppler VHF Omnidirectional Range (DVOR) serta sistem pencahayaan pendekatan sederhana,” ujarnya.
Katanya lagi, Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Sarawak yakin bahawa dengan beroperasinya lapangan terbang baharu tersebut akan menyokong pembangunan rancangan ekonomi Sarawak menerusi Tenaga Yang Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).
“Di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi daerah Mukah dengan memudahkan pergerakan sektor perdagangan dan eksport pertanian, perikanan, makanan dan produk tempatan iaitu sago, nanas tempatan (sawit) dan umai (makanan istimewa Melanau).
“Pembangunan lapangan terbang baharu tersebut juga akan menyokong pembangunan daerah Mukah sebagai Hab Pendidikan, Pusat Penyelidikan, Pembangunan serta Taman Perindustrian Matadeng,” ujarnya lagi.
Beliau berharap pengoperasian lapangan terbang tersebut dapat mempercepat dan memudahkan akses pembekalan vaksin Covid-19 ke kawasan-kawasan pedalaman, seterusnya merealisasikan hasrat kerajaan dalam membina imuniti kelompok menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Sumber dari : Jiwa Bakti